Kenapa sanggup menghancurkan diri sendiri...
Baru saja tadi aku bertemu dengan dua orang kawan sejak di bangku sekolahku di rumah salah satu daripada mereka. Ku panggil dia Adi dan seorang lagi kawanku kupanggil Lan. Aku datang ke rumahnya dengan menaiki motosikal. Jarak rumahnya tidaklah berapa jauh dari rumahku. Setibanya aku dirumah Adi, mereka sedang menunggu kehadiranku. Mungkin ada banyak hal yang mahu dibualkan bersama. Bermacam-macam topik dan hal diborakkan oleh kami. Satu demi satu isu yang dikupas. Apa yang paling banyak sekali dibualkan adalah isu gejala sosial di kalangan remaja. Perbualan kami diselangi gelak getawa yang silih berganti kerana masing-masing pandai berlawak bagi merancakkan lagi perbualan kami. Aku juga telah dihidangkan dengan air teh yang dapat membasahkan kerongkong yang kering dek kepanasan tengah hari. Sampai di pertengahan perbualan kami, kelihatan kelibat seorang lelaki yang kurus, selekeh dan kotor datang menaiki basikal ke rumah kawanku itu. Dalam hatiku bertanya siapakah dia ni? Rasa kebimbangan juga turut hadir bersama kerana kulihat gaya lelaki tersebut seakan-akan seorang penagih dadah. Kami semua diam seketika. Lelaki tersebut datang menghampiri kami bertiga dan Adi lantas bersuara dan bertanyakannya dengan suara yang perlahan. Adi memanggil lelaki tersebut 'pok' dalam dialek Terengganu. Lelaki tersebut menjawab pertanyaan Adi tadi dan dia memberitahu yang dia mahu mencari ibu Adi. Aku dengan Lan hanya mendiamkan diri dan hanya memerhatikan kelibat lelaki itu yang masuk ke dapur rumah Adi. Melihat kami terdiam sebentar, Adi menyambung kembali perbualan dan dia memberitahu aku dan Lan bahawa lelaki tersebut adalah pak cik saudara sebelah ibunya yang datang dari kampung lain. Aku diberitahu bahawa lelaki tersebut hanya datang untuk meminta sedikit makanan untuk dimakan. Adi terdiam seketika dengan raut muka yang sedih. Dia juga memberitahuku bahawa bila-bila masa sahaja lelaki tersebut akan meninggal dunia dengan keadaanya itu yang kemungkinan sudah dijangkiti virus HIV kerana sudah lama menagih dadah. Apa yang aku hairan, lelaki tersebut tidaklah seperti penagih-penagih lain yang seringkali kita dengar mencuri, merompak, mengamuk dan sebagainya. Namun lelaki tersebut tidak seperti yang lain. Dia seorang yang masih lagi dapat mengenali saudara-maranya, Adi memberitahuku. Namun, persoalan yang masih bermain difikiranku adalah mengapa mereka sanggup merosakkan diri sendiri? dan masihkah mereka dapat kembali ke jalan yang benar setelah mereka tersesat ke jalan yang salah...
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment