Cabaran Dalam Dunia Pekerjaan...



Assalamualaikum semua...harap-harap semuanya sihat seperti biasa dan dapat menjalani kehidupan dengan aman dan tenang.

Untuk entri kali ni aku ingin mengongsikan sedikit pengalaman kepada anda semua tentang pekerjaan. Jadi, kepada sesiapa yang masih belajar dan belum lagi bekerja aku harapkan apa yang aku sampaikan ini dapat menjadi pedoman dalam hidup anda semua lebih-lebih lagi masa anda baru sahaja mendapat atau memasuki alam pekerjaan.

Bercerita mengenai pengalaman pertama aku melangkah ke alam pekerjaan, aku ditakdirkan bertemu dengan sebuah kilang yang bertempat di Kluang, Johor dan aku mula bekerja pada 25 Februari 2013. Kilang ini adalah kilang yang menghasilkan peralatan untuk kilang-kilang kelapa sawit. Hidup aku semasa memasuki alam ini amatlah sedikit rumit kerana aku mengalami sedikit masalah kesihatan yang dapat mengganggu prestasi kerja. Disitu aku telah berjumpa dengan mereka yang bernama Lina, Alif, Wanie, Redza dan Azam.

Bekerja di kilang itu, aku mengalami masalah pergaulan dengan mereka yang berada di pejabat kerana masalah kesakitan yang aku alami. Aku dapat merasakan bahawa mereka semua membenciku kerana aku tidak dapat berkomunikasi dengan mereka dengan baik. Manakala kerja yang aku perlu buat adalah menghadap komputer bagi membuat segala perkiraan mengenai design projek yang akan dibuat.

Hari-hariku di kilang itu aku semakin hari semakin tertekan kerana apa yang aku alami tidak mungkin dapat dirasakan oleh mereka dan mereka tidak mungkin memahami apa yang aku sedang rasakan. Keadaan semakin lama semakin parah dan aku terpaksa mengundur diri kerana aku merasakan bahawa aku tidak mampu untuk memikul tanggungjawab sebagai engineer di tempat itu lagi.

Aku mengambil cuti selama beberapa bulan untuk merawat penyakit yang kualami itu dan pengalaman semasa sakit itu amatlah menyeksakan jiwa. Namun, Allah itu mahal adil dan mengetahui apa yang terbaik untuk diriku dan akhirnya aku mendapat pekerjaan baru di Kuala Lumpur pada tanggal 23 Januari 2014.

Bermula bekerja di Kuala Lumpur, pada masa itu sakit yang aku alami belum lagi sembuh kerana berdasarkan informasi yang aku dapatkan dari bacaan ia mengambil masa paling kurang 1 tahun untuk sembuh sepenuhnya. Namun, aku tidak mengalah dan berputus asa walaupun ketika itu amatlah sukar untuk aku meneruskan hidup kerana aku masih bimbang jikalau aku tersungkur lagi dek kerana masalah kesihatan yang aku alami.

Alhamdulillah, pada mulanya aku terasa lebih selesa untuk bekerja kerana kesakitan yang kualami tidaklah begitu ketara jika dibandingkan dengan bekerja di Kluang. Di sini, aku dipertemukan dengan mereka yang bernama Kak Siti, Zuhair, Kak Sahariah, Kak Ida, Panjang, En. Mat Noor, En. Armiya, dan Abang Omar. Di tempat kerja ini situasi adalah sangat 'pressure' kerana kerja yang perlu dibuat amatlah banyak sehingga aku dihimpit dengan tugasan yang sangat banyak perlu disiapkan dalam satu masa. Begitulah hari-hariku bekerja di tempat ini. Sehinggakan pada suatu hari aku telah disuruh oleh majikan untuk mengarah orang-orang yang berada di bawah aku.

Aku juga disuruh untuk melakukan pelbagai kerja termasuk membuat dokumen, menguruskan report, menguruskan projek di tiga buah tempat, membuat pesanan untuk barangan yang diperlukan, bertemu dengan client. Pengalaman yang paling sukar sekali di tempat itu adalah untuk menguruskan pekerja-pekerja yang di bawah. Amatlah susah bagi aku untuk memastikan mereka mengikuti apa yang diarahkan. Kerja-kerja yang dilakukan hari-hariku semakin rumit kerana apa yang aku arahkan tidak diikuti dan hal ini menimbulkan banyak masalah dan akhirnya aku juga dipersalahkan. Ditambah lagi dengan masalah kemahiran pekerja yang tidak dimiliki oleh syarikat amatlah semakin merumitkan lagi keadaan.

Claim bulanan untuk projek tidak dapat diterima lagi oleh client dan ada juga projek tergendala disebabkan kerja-kerja yang dilakukan tidak mengikut etika pekerjaan. Sehinggakan aku merasa amat terbeban kerana majikan tidak mahu mendengar kata-kata nasihat daripada aku untuk melantik seorang supervisor bagi menjadi penasihat untuk diriku. Akhirnya, aku mengambil keputusan untuk mengundur diri kerana aku merasakan tidak mampu lagi untuk memikul tanggungjawab yang begitu besar buat diriku. Mungkin di pandangan mata mereka hal ini amatlah kecil, tetapi bagiku ia amatlah besar dan berkaitan dengan banyak masalah seperti integriti, masalah sistem, masalah attitude, masalah disiplin dan juga masalah kemahiran di tempat itu. Namun, aku tetap bimbang jika syarikat ini tidak akan berkembang dan maju kehadapan kerana majikan tidak mampu untuk menyelesaikannya dan aku telah berusaha sedaya upaya untuk menyelamatkannya namun aku juga tertewas dek kerana keegoaan manusia di sekeliling.

Setakat ini sahajalah yang dapat aku kongsikan kepada anda semua..semoga anda semua dapat mengambil pengajaran dan jadikan ia pedoman untuk anda bersedia memasuki alam pekerjaan..

Sekian...


0 comments:

Post a Comment

Hit Countersclick here