Sudah lama aku tidak menulis dalam blog setelah hampir setahun lamanya. Untuk entri kali ini aku ingin mengongsikan sedikit sebanyak pengalaman mengenai hidup. Kali ini adalah mengenai pengalaman dalam kerja. Pertama sekali aku ingin mengucapkan syukur kepada Ilahi kerana masih mengurniakan diri ini kesihatan dan juga kekuatan untuk menempuh hari-hari yang mendatang.
Sesungguhnya kehidupan ini terlalu banyak dugaan yang tak mampu kita ramalkan. Mungkin hari ini kita di atas, esok hari mungkin kita akan berada di bawah. Jadi, eloklah kita semua panjatkan kesyukuran di atas segala nikmat yang kita kecapi hari ini. Semoga kita tak lupa pada yang Maha Pencipta yang telah mengatur segala apa yang berlaku dalam hidup kita. Sama ada mahu menerima apa yang berlaku atau tidak ataupun terus menyalahkan takdir yang telah ditetapkan olehNya.
Berbalik kepada topik yang aku ingin kongsikan di sini, sesungguhnya berada dalam alam pekerjaan terlalu banyak cabaran yang perlu ditempuh. Perkara yang harus diutamakan dalam diri adalah pegangan. Kerana di alam pekerjaan kita akan berdepan dengan manusia yang sangat berbeza tahap pemikiran dan juga latar belakang. Jika sekiranya pegangan dalam diri itu rapuh, maka terlalu mudah bagi kita untuk terpengaruh dengan gejala yang tidak baik. Pegangan yang paling baik adalah tak lain tak bukan itulah agama. Sesungguhnya telah banyak pengalaman yang aku tempuh, termasuklah perkara yang hampir menjerat aku ke kancah maksiat kerana dipengaruh rakan sekerja. Sesungguhnya aku amat bersyukur kerana Tuhan masih sayangkan diriku.
Jika tidak, aku akan berasa menyesal seumur hidup kerana melakukan perkara yang sangat keji dan mencemar maruah diri. Bagi mereka yang tiada pegangan, sudah tentu tidak apa bagi mereka. Tapi aku yang masih mempunyai harga diri takkan mudah terjerumus ke lembah hina. Sesungguhnya hidup ini penuh dengan pencarian. Oleh itu tidak hairanlah manusia berlumba-lumba mencari sesuatu yang mereka rasakan hebat dan mampu menghiburkan serta memuaskan hati mereka tanpa mereka sedari yang mereka cari itu adalah salah disisi agama semata-mata ingin menghilangkan stress di tempat kerja.
Aku sentiasa memerhatikan gelagat manusia ditempat kerjaku. Sepanjang aku ditempat kerja, aku tidak pernah nampak kebaikan dalam diri mereka. Tempat kerja adalah medan pertempuran. Tidak banyak nilai murni yang ditunjukkan. Sampaikan di satu tahap aku merasakan tidak ada satu pun manusia yang baik dan tiada siapa pun yang boleh dipercayai. Terlalu banyak perkara yang tidak elok yang mereka bualkan dan banyak perkara yang sia-sia. Sungguh mereka hanya ingin mengejar hiburan dan menepis segala nasihat yang baik ingin kuberikan. Yang mereka mahu hanyalah duniawi, akhirat langsung diabaikan.
Gambar hiasan
Apapun hidup ini memerlukan kekuatan terutama sekali bagi mereka yang beriman dan yang berilmu. Aku percaya bahawa ramai yang berilmu, tapi tak beramal. Mereka seolah-olah tersepit dengan keadaan dan tidak mampu untuk menghindar kejahatan mungkin kerana takut dilabelkan sebagai ketinggalan dalam arus zaman-berzaman serta dianggap lemah dan bodoh. Semoga aku tidak tergolong dalam kalangan sebegitu dan aku tidak akan tewas dengan cabaran sebegini...