Peristiwa di Bulan Ramadhan Yang Tak Dapat Dilupakan..


Pukul 2:30 pagi..aku masih lagi tidak dapat melelapkan mata walaupun hari sudah lewat malam. Hari ini adalah hari ke 21 umat Islam menunaikan ibadah puasa. Betapa fikiran ini hanya tertumpu pada peristiwa yang berlaku sebentar tadi. Hati ini terasa bahawa diri ini telah jauh tersasar dari jalan yang sebenar. Ya, memang jauh dari jalan itu. Diri ini masih lagi lemah dari godaan nafsu. Masih lagi melakukan kejahatan walaupun berada dalam lingkungan bulan Ramadhan yang mulia ini. Aku sedar bahawa aku hanya insan yang lemah. Betapa lemahnya diri ini dan begitulah sifat manusia.
Sedang aku mengingati peristiwa itu tadi aku telah membuat perhitungan untuk diri sendiri. Nampaknya Tuhan telah memberi balasan terhadap diriku, mungkin untuk meyedarkan diriku ini yang telah terpesong dari jalanNYA. Alhamdulillah, syukurku kepada Allah s.w.t kerana masih lagi menyayagi hambaNYA yang pelupa dan lalai dengan nikmat yang telah diberikan. Teringat lagi aku semasa mengheret motosikalku yang mati di tengah jalan gara-gara kehabisan minyak. Mungkin silap diriku kerana tidak memeriksa dahulu kandungan isi minyak di dalam tangki sebelum keluar membeli baju raya bersama rakan-rakan.
Hendak dijadikan cerita, aku seorang diri dalam perjalanan pulang ke rumahku setelah keluar bersama rakan-rakan menaiki motosikal. Ketika dalam perjalanan lebih kurang 1 kilometer untuk sampai ke rumah, motosikal yang aku naiki tiba-tiba mati. Hah, pada masa itu aku baru teringat bahawa minyak di dalam tangki belum lagi diisi sejak dua tiga hari lalu dan aku membuat anggapan bahawa minyak sudah habis. "Matilah aku kali ni". Hati kecilku bersuara. Tanpa membuang masa, aku terus mengheret motosikal dalam gelap malam dan terang lampu jalan dengan harapan kedai yang berhampiran masih lagi dibuka. Namun hatiku hampa kerana tiada satu pun kedai yang dibuka memandangkan malam sudah lewat. Dalam keterpaksaan aku mengheret motosikal sejauh 1 kilometer dari rumahku. Dalam pemikiran terdetik juga perasaan takut.
Walaupun jaraknya tidaklah berapa jauh tetapi amatlah memenatkan kerana aku terpaksa berlari kerana bimbang berlaku kejadian yang tidak diingini. Dalam keadaan tercungap-cungap aku berlari sambil mengheret motosikal yang kusayang. Tatkala itu aku merasakan tekakku semakin haus dan peluh mula membasahi baju yang kupakai. Sesekali kereta lalu-lalang dan itu sedikit membuatkan hatiku yang gelisah menjadi lega. Namun setiap kali motosikal lalu-lalang hatiku menjadi gelisah kerana bimbang akan berlaku kes-kes yang biasa kudengar daripada mulut rakan-rakan. Aku tahu betapa sekarang ini macam-macam perkara yang boleh terjadi kerana kebanyakan orang zaman lebih suka menyusahkan daripada menolong orang. Itu bukanlah omong-omong kosong yang aku katakan tetapi itulah hakikat dan realiti pada zaman sekarang seperti yang selalu dibaca dalam akhbar.
Mengheret motosikal sambil berlari terkadang membuatkan kakiku terasa amat penat dan terasa ingin rebah ke bumi. Namun aku kuatkan semangat mengharapkan aku akan sampai jua ke rumah dengan keadaan selamat. Berselang-seli aku meredah keterangan lampu jalan yang samar-samar dan juga kegelapan malam. Yang membimbangkan aku adalah ketika dalam keadaan gelap kerana memang lumrah manusia yang akan berasa takut dan bimbang jika berada di tempat yang gelap.
Dalam keadaan yang penat akhirnya sampai juga aku ke rumah kesayangan bak kata pepatah "rumahku syurgaku". Alhamdulillah...."Fuhhh..penatnya." Rengetku di dalam hati. Otot-otot pehaku terasa hampir kekejangan namun aku berusaha menghilangkannya dengan membuat larian setempat. "Nah..baru kutahu betapa penatnya mengheret motosikal sambil berlari. Itu baru 1 kilometer, belum lagi 10 kilometer."Bisikku di dalam hati.
Selepas itu aku masuk ke dalam rumah dengan membawa baju dan selipar raya dalam keadaan masih lagi penat. Selang dua tiga minit ibuku keluar dari biliknya setelah mendengar suaraku. Tak semena-mena pula aku dimarahinya. "kenapa kau tak telefon saja abah? telefon kan ada..Tak pasal-pasal dapat penat."Kata ibuku dalam nada sedikit marah. "Ala..dekat je tu. Bukannya jauh pun."Balasku sekadar hendak menyedapkan hati. Setelah mendapat beberapa "bebelan" dari ibuku, aku terus ke bilik menyimpan baju raya dan aku baru teringat yang aku belum lagi sembahyang fardhu isya'. Pada masa itulah aku baru sedar bahawa aku belum lagi menunaikan kewajiban aku sebagai seorang hamba. Dalam hati aku berfikir bahawa inilah balasan bagi hamba yang selalu lalai dan leka dengan kesibukan dunia. Aku terasa akulah insan yang paling rugi kerana selama ini aku jauh dari sisiNYA dan aku berharap selepas ini aku tak akan mengulanginya lagi. "Sudahlah solat isya' lambat, solat tarawikh pulak tak pergi. Aduh..padan muka aku. Dah kena balasan.."Bisikku dalam keinsafan.
Namun disini aku telah membuat andaian. Aku mengandaikan bahawa motosikal itu sebagai diri kita. Jika kita sentiasa mengisi miyak dan penuhkan dalam tangki motosikal, nescaya kita akan sampai ke destinasi dengan cepat dan selamat. Begitu juga dengan diri kita, jikalau kita sentiasa isikan diri kita, roh kita dengan iman dan takwa (minyak), InsyaAllah ia akan membantu, menyuluh (suluhan lampu motosikal yang menyala jika ada minyak) kita menyelusuri jalan kita(jalan lurus) ke Syurga(rumah). Ketakutan pada gelap dan penjenayah aku ibaratkan sebagai cabaran-cabaran yang akan mengganggu kita untuk meneruskan perjalanan ke jalan destinasi jika tiada iman.

gambar hiasan....

Hit Countersclick here